bior tak lekang dek panas

apo nak jadi, jadila.. den tak kiro.. den nak jugak guna loghat N9 biorpun den ni anak Jawa lahir kek Kuching tapi dibosarkan di Johor. den bersyukur ngan segalo kurniaan Allah pado den. semoga Allah makbulkan satu yo permintaan den.. "golongkanlah aku dalam golongan yang sedikit itu ya Allah" aminnnn

Friday, December 17, 2010

Malang si Sibu


Petang semalam, semasa berada di dalam kereta menuju ke rumah, suami dengan dalam nada perlahan berkata, "Yang, Sibu dah tak ada." Aku terdiam. Sekilas menoleh ke arah suami, aku kemudian memandang ke depan melihat motor berlenggang-lenggok di celah-celah kereta. Setibanya di rumah, suami memberitahu aku bahawa Sibu tidak sempat dikebumikan sebaliknya disimpan dulu dalam plastik dan diletak di atas sangkar. Tidak seperti hari-hari sebelumnya.. petang semalam, aku menonong ke pintu rumah. Langsung tidak kupandang sangkar Sibu.

Pagi tadi seusai solat subuh, mataku bergenang.. teringat aku akan Sibu. Sibu adalah seekor anak kucing yang aku temui sedang merayau-rayau di laluan pergola Laman Sayuran semasa MAHA 2010 berlangsung pada 2 Disember, 2010.
     Waktu itu sudah lewat petang. Sebelum itu aku sibuk mencari sudut sesuai untuk penggambaran. Tidak kusangka pandanganku terarah kepada seekor anak kucing yang aku kira masih menyusu terjatuh dari bangku batu. Kasihan melihat ia terkial-kial di celah-celah pokok. Aku batalkan niat mencari sudut yang sesuai sebaliknya berjalan-jalan mengelilingi tempat itu untuk mencari ibu kucing berkenaan. Manalah tahu jika `sarangnya' berdekatan. Selepas puas berputar di sekitar Laman Sayuran, aku geledah pula tong sampah dan semak berhampiran. Namun langsung tidak kelihatan sebarang tanda akan kewujudan kucing di situ. Melihatkan anak kucing itu merayau tanpa tujuan, hatiku menjadi serba-salah. Lalu sebelum pulang, aku mencempungnya dari jalanan dan masukkannya dalam beg kertas. Semasa menunggu trem, aku keluarkan anak kucing berkenaan dari beg kertas untuk melihatnya dengan lebih dekat. Kawanku menegur, "Kucing ni buta matanya... tapi bertuah sebab bulunya ada tiga warna." Aku amat-amati, memang benar matanya buta. Sekadar berjenaka aku khabarkan kepada kawan bahawa aku akan menamakannya sebagai Si Buta Tiga Warna. Kawanku menjeling sambil menyindir, "Dah hilang kreativiti kah?"
     Magrib itu Sibu secara rasmi menjadi anak angkatku. Sibu adalah singkatan untuk Si kucing kecil yang buta dan berbulu tiga warna. Minggu pertama membela Sibu berlalu dengan penuh keseronokan. Sibu aku mandi dan beri makan seenakknya. Bagaimanapun keseronokan itu tidak kekal lama. Episod malang menyelubungi Sibu pada minggu kedua.
    Teruja memiliki dua spesies pokok herba - rosemary dan parsley yang aku beli selepas majlis pelancaran jagung hibridmas oleh Datuk Noh Omar di Laman Sayuran, aku membiarkan Sibu keluar dari sangkar dan merayau-rayau di sekitar taman miniku. Sebenarnya, aku berasa kasihan mendengar rintihan Sibu yang meminta izinku untuk keluar dari `rumah kecil'nya barang sekejap waktu. Aku membayangkan perasaan sendiri seandainya seharian dikurung dalam sangkar yang tidak seluas mana. Tanpa kusedari, puteri bongsuku yang berusia 19 bulan, Damia Maisarah turut menyertaiku membuat sepah di halaman rumah.
     Damia si kecil yang lincah dan tidak pernah takut kepada apa-apa, masih belum mengerti mengenai kelembutan apatah lagi perikemanusiaan. Aku tidak menyalahkan Damia dengan perbuatannya membaling Sibu berulang kali di atas lantai. Sibu bagi Damia umpama boneka yang boleh dicampak lalu ditertawakan. Jeritan Sibu ibarat dendangan manis buat anak kecil itu.
     Seratus peratus aku menyalahkan diri aku kerana terlalu alpa dengan urusan menukar pasu pokok hiasan sehinggakan pandangan dan pendengaranku buta dengan jeritan Sibu.
    “Mama! Mama! Saya sakit! Mama! Mama! Tolong saya! Hentikan kekejaman ini!” mungkin itulah rayuan Sibu kepada aku yang duduk membelakangkannya.
    Sehinggalah suami menegur aku mengapa membiarkan Damia bermaharaja lela terhadap Sibu. Barulah aku perasan dan menyedari bahawa Sibu sedang di`siksa’ oleh puteriku di belakang aku yang sedang asyik membelai pohon rosemary!
    Sejak itu, keadaan Sibu tidak terurus. Hambatan kerja mengekang aku daripada membelainya. Seawal pagi aku sudah meninggalkan Sibu. Biarpun aku pastikan makan minumnya ada dan tempat tinggalnya ku bersihkan namun aku alpa bahawa Sibu sebenarnya sedang kesakitan. Aku hanya sempat memberi Sibu ubat vitaminku sekali sahaja. Selepas itu aku tidak berkesempatan berbuat apa-apa. Fikiranku terlalu rusuh dengan pekerjaanku.
     Aku perasan Sibu sudah tidak lalu makan. Aku perasan Sibu sudah kurang lincah. Aku perasan Sibu banyak termenung. Aku perasan najis Sibu agak banyak dan terlalu cair, tidak seperti kebiasaan. Tetapi setiap kali pulang dari tempat kerja, aku hanya memberi janji kosong kepada Sibu. Dalam hati aku berkata, "Sibu bersabar ya.. nanti mama belikan Sibu susu. Sibu, kamu terlalu kecil untuk makan makanan kucing ini. Kamu tunggu ya selepas mama habis deadline. Mama akan belikan susu untuk kamu."
    Ternyata, penantian Sibu untuk aku membelainya sia-sia. Sibu pergi menghadap Maha Esa sambil disaksikan suami dan anak-anak lelakiku.
     Hari ini, Sibu dikebumikan di perkuburan kucing - halaman di luar pagar rumahku.


No comments:

Post a Comment